Friday 9 November 2012

Kepentingan Minum Air Yang Cukup




Air merupakan elemen yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Menurut kajian, kira-kira dua pertiga daripada komposisi badan manusia ialah air, manakala selebihnya terdiri daripada zat padat. Ini bermakna badan manusia didominasi oleh air. Namun, jika komposisi air dalam badan manusia kurang daripada kadar yang sepatutnya, ini boleh mendatangkan kesan buruk bagi manusia itu sendiri. Artikel ini akan mengkongsikan fungsi air, akibat kurang air, dan langkah-langkah bagi memastikan badan mengandungi air yang secukupnya.

Antara fungsi air ialah membantu untuk berfikir, membantu menyalurkan zat-zat makanan ke seluruh badan, mengawal suhu badan, melembutkan dan mencantikkan kulit, membuang bahan-bahan tidak baik melalui air kencing dan najis, melancarkan peredaran darah, menggerakkan otot-otot dan sendi, dan membantu dalam pencernaan makanan dengan baik. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Agar (dengan air itu) Kami menghidupkan negeri yang mati (tandus), dan Kami memberi minum kepada sebahagian apa yang telah Kami ciptakan, (berupa) haiwan-haiwan ternak dan manusia yang banyak.” (Surah al-Furqan, 25:49). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa fungsi utama air ialah memberikan kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan juga manusia. Tanpa air, mereka tidak akan bertahan hidup kira-kira dalam jangka masa seminggu. Tetapi mereka mampu bertahan hidup selama berbulan-bulan jika ketiadaan makanan untuk dikonsumsi.

Walaupun badan kekurangan sedikit air, ini boleh mengakibatkan gangguan pada ingatan, hilang daya tumpuan, badan berasa letih dan lesu, dan yang paling ketara ialah air kencing menjadi pekat dan mengeluarkan bau yang kuat. Dalam jangka masa yang panjang pula, badan manusia akan mudah terdedah dengan masaalah kesihatan seperti sakit kepala, sembelit dan air kencing yang kotor, dan mengalami masaalah perjalanan darah. Panduan pertama bagi manusia agar boleh mengesan kekurangan air ialah apabila mula merasa haus. Apabila badan berasa penat dan lesu, ini bermakna badan memerlukan air yang secukupnya agar kembali segar. Jika air kencing jernih dan cair, maka komposisi air dalam badan adalah cukup.

Antara langkah-langkah untuk memastikan agar kandungan air dalam badan mencukupi ialah dengan cara membawa sebotol air mineral ke mana-mana sahaja kita pergi, minum segelas air secara rutin iaitu sebelum dan selepas tidur, minum air sekurang-kurangnya enam ke lapan gelas sehari, dan tidak makan terlalu banyak dalam satu hidangan agar perut mempunyai ruang yang secukupnya untuk diisikan dengan air. Rasulullah s.a.w. ada memberikan petua agar mengisi perut tidak lebih daripada satu pertiga makanan agar satu pertiga lagi untuk air, dan satu pertiga lagi merupakan udara untuk pernafasan.

Kesimpulannya, manusia memerlukan air untuk hidup. Manusia mampu hidup tanpa makanan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, tetapi manusia tidak mampu hidup tanpa air kira-kira dalam jangka masa seminggu sahaja. Selain itu, air mempunyai pelbagai fungsi bagi manusia. Jika jumlah air dalam badan kekurangan, maka ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, peredaran darah, dan mengakibatkan kelesuan dan keletihan. Oleh itu, kita harus memastikan agar badan sentiasa mengandungi jumlah air yang secukupnya dengan mempraktikkan langkah-langkah atau beberapa garis pandu seperti yang telah dikongsikan.

Sumber: 
Farhan Hadi Mohd Taib, Dr. (2012). Minumlah air secukupnya. Gen-Q, (13), 54-5.

No comments:

Post a Comment