Tuesday, 17 July 2012

30 Wasiat Imam Syafie


Imam Syafie adalah seorang ulama yang tergolong sebagai ulama salaf yang sangat berpengaruh yang digelari dengan “Imam Mazhab”. Ketokohannya tiada bandingnya sama ada pada zaman beliau hidup mahupun sesudahnya. Hujjah-hujjahnya tidak mampu dipatahkan oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan ulama yang berani dan tegas ini.

Nama sebenar Imam Syafie adalah Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hisyam bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Wasiat 1:
Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.

Wasiat 2:
Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

Wasiat 3:
5 perkara yang harus diingat:
  1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
  2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
  3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
  4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
  5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Wasiat 4:
Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan satu kesabaran pula. Adapun bala dan musibah, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

Wasiat 5:
Apabila salah seorang di antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, hendaklah ringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh Malaikat dan dicintai Allah.

Wasiat 6:
Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun, oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

Wasiat 7:
Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah s.a.w. juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat.

Wasiat 8:
Berbuat baik dan tunjukkan baktimu kepada ibu bapamu tanpa mengenal letih dan lelah sebagaimana mereka telah berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ianya akan menambah keberkatan pada umurmu, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosamu.

Wasiat 9:
Berbuatlah sebanyak-banyak amal soleh kerana ia merupakan pendinding dan perisai orang Mukmin dan pelindung daripada serangan iblis.

Wasiat 10:
Taqwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan.

Wasiat 11:
Iman mempunyai bentengnya untuk menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, untuk menguatkan benteng iman, perlulah dibajai keimanan dengan 5 perkara:
  1. Yakin.
  2. Ikhlas.
  3. Mengerjakan amalan sunat.
  4. Istiqamah beramal.
  5. Bertatasusila atau berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.

Wasiat 12:
Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

Wasiat 13:
Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

Wasiat 14:
Kubur adalah sebuah perhentian sementara untuk membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.

Wasiat 15:
Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. Sekurang-kurangnya dengan mengucapkan “A’udzu billahi min al-syaitan ir-rajim”. Jika serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebatnya, kita mestilah bersabar dan menyedari, bahawa Allah Ta’ala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

Wasiat 16:
Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan tersebut terdapat dalam dirimu sendiri.

Wasiat 17:
Hati adalah raja di dalam diri. Oleh itu lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iring-iringan pasukan kebatilan.

Wasiat 18:
Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

Wasiat 19:
Ketahuilah bahawa sebesr-besar kesenangan di dunia dan di akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

Wasiat 20:
Tafakkurlah sebelum tidur untuk menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti di siang hari sebagaimana Umar bin Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya di siang hari.

Wasiat 21:
Berikut adalah butir-butir kata-kata hikmat dan nasihat Imam as-Syafie sebagaimana yang terdapat di dalam kitab al-Umm:
  1. Pendapat seorang tua adalah lebih baik daripada tenaga seorang muda.
  2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.
  3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah sekeping daging.
  4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.
  5. Jagailah ibubapa kamu, nescaya anak-anakmu akan menjagai kamu.
  6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah.
  7. Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang terpencil dari seorang yang bakhil.
  8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif. Seorang jahat adalah lebih jahat daripada kejahatan.
  9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangkan ilmu menjaga kamu.
  10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan sembahyang.
  11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.
  12. Mengajar adalah belajar.
  13. Berkhairatlah mengikut kemampuanmu dan janganlah kamu jadikan keluargamu hina dan miskin.
  14. Insan terbahagi kepada 3: i-Mereka yang mengenal Allah, ii-Mereka yang mencari kebenaran,iii-Mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran. Golongan yang terakhir inilah yang paling rendah dan tak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.
  15. Insan tak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhuk dan lemah.
  16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah.
  17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat dari mencari kesilapan orang lain.
  18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.
  19. Manusia sebenarnya sedang tidur tetapi akan bangun bila ia mati.
  20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan al-Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia-rahsia kebenaran itu.
  21. Allah merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batas.
  22. Sifat seseorang tersembunyi disebalik lidahnya.
  23. Seorang yang membantu adalah sayapnya seorang yang meminta.
  24. Insan tidur di atas kematian anaknya tetapi tidak tidur di atas kehilangan hartanya.
  25. Barangsiapa yang mencari apa yang tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.
  26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripada golongan mereka yang mengumpat.
  27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.
  28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.
  29. Orang yang dengki marah kepada orang yang tidak berdosa.
  30. Putus harapan adalah satu kebebasan, mengharap (kepada manusia) adalah suatu kehambaan.
  31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.
  32. Seorang akan mendapat tauladan di atas apa yang dilihat.
  33. Taat  kepada perempuan (selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.
  34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelaan yang memalukan.
  35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah dengan bersedekah.
  36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihat apa yang dikatakannya.
  37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura-pura.
  38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.
  39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.
  40.  Jika kamu telah menguasai musuhmu, maafkanlah mereka, kerana perbuatan itu adalah syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.

Wasiat 22:
Barangsiapa yang ingin meninggal dunia dengan selamat hendaklah dia mengamalkan 10 perkara berikut:
  1. Hak kepada diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 
  2.  Hak kepada Malaikat Maut iaitu mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan bagi mati dan merasa cinta kepada Allah. 
  3.  Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi. 
  4.  Hak kepada Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. 
  5.  Hak kepada Mizan iaitu menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan. 
  6.  Hak kepada Sirat iaitu membuang tabiat suka mengumpat, wara’, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah. 
  7.  Hak kepada Malik iaitu banyak menangis kerana takut kepada azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibubapa, bersedekah ketika terang dan sembunyi dan memperelokkan akhlak. 
  8.  Hak kepada Ridhwan iaitu merasa redha kepada qadha Allah, bersabar menerima bala, bersyukur kepada nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat. 
  9.  Hak kepada Rasulullah iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan Sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah. 
  10.  Hak kepada Allah iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Wasiat 23:
Pada suatu hari, seorang lelaki pendebat datang bertemu Imam Syafie.
Pendebat: “Mengapakah Iblis yang diciptakan daripada api dan kemudian dia diseksa pula dengan api?”
Imam Syafie berfikir sejenak. Kemudian Imam Syafie mengambil segumpal tanah kering dan mencampakkannya kepada lelaki itu. Lalu, trnampak tanda-tanda kesakitan dan marah pada air muka lelaki itu.
Imam Syafie: “Adakah kamu sakit?”
Pendebat: “Ya! Saya sakit.”
Imam Syafie: “Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah, dan engkau juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.”
Pendebat itu terdiam tidak menjawab, tetapi dia telah faham dengan maksud kata-kata Imam Syafie. Begitulah jua keadaan Iblis, dia diciptakan Allah daripada api dan dia juga akan diseksa dengan api.

Wasiat 24:
Barangsiapa yang menjalinkan ukhuwah dan menghidupkannya, maka ia akan memperolehi 10 keutamaan berikut:
  1. Mendapatkan keredhaan Allah kerana Allah amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah begitu juga penduduk di langit.
  2. Menggembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah.
  3. Dapat menambahkan pahala amalnya setelah ia meninggal kelak.
  4. Dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian.
  5. Dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki.
  6. Allah dapat melanjutkan usianya.
  7. Menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.
  8. Akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada di sekelilingnya.
  9. Dapat menggembirakan jenazah yang berada di alam barzakh.
  10. Dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak, tiada amalan yang lebih baik melainkan menggembirakan hati orang-orang yang beriman.

Wasiat 25:
Allah s.w.t. menjanjikan kepada orng-orang yang beriman bahawa mereka akan ditinggikan darjatnya dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam Surah Yunus: 9-10.

Wasiat 26:
Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pertolongan Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah ar-Rum: 48 dan Surah Ali Imran: 160.

Wasiat 27:
Allah s.w.t. menjanjikan kepad orang-orang yang beriman bahawa mereka akan mendapat pembelaan daripada Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hajj: 38.

Wasiat 28:
Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa bahawa Allah akan menaikan taraf darjat mereka sehingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah: 257 dan Surah Yunus: 62-63.

Wasiat 29:
Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang-orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hajj: 54.

Wasiat 30:
Allah s.w.t. menjanjikan kepada orang-orng yang beriman bahawa mereka akan memperolehi rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-A’raf: 96.

Sumber:
Abu Ahmad Yasin. 30 Wasiat Imam Syafie. Malaysia: Jahabersa.

No comments:

Post a Comment